Custom Search

Sunday, May 23, 2010

Siapa Khidir?

Ramai ulama berpendapat bahawa Khidir adalah seorang nabi Allah, nama Khidir ini diguna di zaman Baginda Muhammad saw, sebelum itu nama penuh khidir adalah “Balya bin Malkam”. Ada pendapat mengatakan beliau adalah Elia atau St. George, namun itu bukan pendapat yang jelas. Khidir adalah seorang Nabi dan hamba Allah yang mempunyai kelebihan dalam ilmunya berbanding dengan nabi-nabi yang sepertimana yang diceritakan Allah dalam Al-Quran, Surah Al-kahfi ayat 65-82, Dimana Nabi Musa pergi mencari nabi Khidir untuk mempelajari ilmu dari nya. Khidir dari segi bahasanya bermaksud "seseorang yang hijau" yang bermaksud ketenangan jiwa dari sumber alam semulajadi.

Yang menariknya, nenek moyang kita mengatakan bahawa Muhammad saw juga dari keturunan Nabi Khidir, tetapi kepastiannya masih samar.Yang penulis tahu, Muhammad saw adalah dari keturunan Nabi Ismail as anak kepada Ibrahim as dan Siti Hajar. Itu adalah keturunan yang diakui sendiri oleh Muhammad saw. Pendapat nenek moyang kita yang mengatakan Muhammad saw adalah juga dari keturunan Khidir adalah melalui satu ilmu untuk memberi ucapan salam kepade Khidir, didalam salam itu tersebut nama penuh Khidir dan keturunan nya yang membawa kepada Muhammad saw seperti berikut:

Abu A’bas Khalis Laus Balya ibni malkam (Khidir)–ibni Soleh –ibni Faleh –ibni Fakhas –ibni Syam –ibni Nuh –Ibni Hasyim (Keturunan Muhammad saw)

Namun semua itu adalah andaian nenek moyang kita sahaja kerana tidak ada bukti kesasahihannya, jadi tidak perlulah dipangjangkan benda yang tidak ada kepastian.
Penulis ingin membicarakan tentang kaitan Khidir dan para wali Allah, Ada yang berpendapat bahawa sebahagian daripada para wali itu mempelajari pelbagai ilmu daripada nabi Khidir sendiri, Kesasihannya hanya Allah yang tahu, para wali ini dikurniakan oleh Allah pelbagai Karamah yang pelik tidak masuk akal dan kebanyakan dari mereka disembunyikan oleh Allah dari pandangan manusia umum seperti sabda Muhammad saw, disembunyikan para wali Allah itu dari pandangan manusia. Disebabkan itu ramai dikalangan para wali dikaitkan dengan Khidir as seperti seorang wali Kutub yang berada di baghdad yang bernama Abd Qadir Jailani.

Penulis diberi tahu bahawa antara beribu-ribu nabi, (Rujukan “Mystical Dimensions of Islam”) hanya ada 4 orang sahaja nabi yang mendapat kelebihan hidup kekal (umur yang terlampau panjang tetapi mereka harus wafat kerana mereka manusia), mereka adalah nabi Idris (Enoch), nabi Ilyas (Elias), nabi Isa (Jesus) dan nabi Khidir. 2 daripada mereka berada dilangit iaitu nabi Isa dan Idris, dan 2 lagi berada dibumi iaitu nabi Ilyas dan Khidir. Dimana tempatnya menjadi rahsia Allah, menurut Syaikh Imam M. Ma’rifatullah al-Arsy, Segitiga Bermuda merupakan tempat titik terujung di dunia ini, disitulah menjadi takhta semayang nabi Khidir, namun para perubatan islam mengatakan segitiga Bermuda adalah istana kerajaan iblis, wa-Allah A’lam.

Khidir dikatakan hidup kerana ia adalah salah seorang yang meminum air yang bernama Ainul Hayat, menurut yang diceritakan oleh Baginda Muhammad, Seorang pemerintah yang bernama Iskandar Zulkarnain yang memiliki wilayah jajahan dari barat hingga ke timur seperti yang disebutkan dalam Al-Quran surah Al-kahfi, (bukan Alexander the great kerana Alexander hidup dan berkuasa pada zaman sekitar 380 sebelum masihi) mempunyai seorang sahabat karib dan penasihat bernama Khidir, beliau didatangi Jibril dan berkata kepadanya “barangsiapa yang meminum ainul hayat, nescaya Allah akan mengekalkan hidupnya”. Lalu, atas dasar ingin beribadat pada Allah selama-lamanya, Iskandar mengerah tenteranya untuk mencari ainul hayat, namun tidak dijumpainya, kemudian Iskandar bersama sahabat karibnya sendiri keluar mencari air tersebut dan dijumpainya tetapi yang dapat minum, mandi dan berwuduk hanya sahabat iskandar sahaja iaitu khidir. Menurut riwayat bahawa sahabat iskandar yang bernama khidir itulah nabi khidir.

Nabi Khidir as juga salah seorang nabi yang dikatakan telah menjumpai kesemua nabi dan rasul yang pernah diutuskan oleh Allah bermula dari Adam as sehingga Muhammad saw. Riwayat ada mengatakan nabi khidir pernah bertanya 1 soalan kepada semua nabi dan rasul tetapi hanya seorang sahaja yang mampu menjawabnya iaitu Muhammad saw.
Penulis juga pernah membaca beberapa buah buku yang menceritakan beberapa peristiwa kemunculan Khidir dizaman para sahabat, antara yang menarik ialah kemunculan Khidir selepas kewafatan baginda Muhammad saw untuk menziarahi baginda buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

Berkata Ibnu Abu Dunia, yang didengarnya dari Kamil bin Talhah, dari Ubad bin Abdul Samad, dari Anas bin Malik, mengatakan: “Sewaktu Rasulullah SAW wafat, berkumpullah sahabat-sahabat beliau di sekeliling jenazahnya menangisi kewafatan baginda. Tiba-tiba datang kepada mereka seorang lelaki yang bertubuh tinggi memakai kain panjang. Dia datang dari pintu dalam keadaan menangis. Lelaki itu menghadap kepada sahabat-sahabat dan berkata: “Sesungguhnya dalam agama Allah ada pemberi takziah setiap terjadi musibah, ada pengganti setiap ada yang hilang. Bersabarlah kamu kerana sesungguhnya orang yang diberi musibah itu akan diberi ganjaran.”

Kemudian lelaki itu pun menghilang daripada pandangan para sahabat. Abu Bakar As-Sidiq ra berkata: “Datang ke sini lelaki yang memberi takziah.” Mereka memandang ke kiri dan kanan tetapi lelaki itu tidak nampak lagi. Abu Bakar berkata: “Barangkali yang datang itu adalah Khidir, saudara nabi kita. Beliau datang memberi takziah atas kewafatan Rasulullah SAW.”

Namun dikatakan hadis ini adalah hadis daif dan Ubad yang meriwayatkan hadis ini tidak di iktiraf oleh Imam Bukhari. Kesimpulan yang kita dapat buat adalah, siapa pun Khidir, darimana dia berasal dan dimana dia tinggal, dia tetap seorang hamba Allah yang berupa manusia yang terikat pada fitrah kejadian. Merujuk kepada petua nenek moyang kita yang mengatakan nabi khidir yang memengang air penawar, ia bergantung pada anda, kalau anda kata air penawar itu penawarnya datang dari Khidir, akidah anda tepesong sama sekali, anda sama sekali tidak boleh meminta kepada sesiapapun dia hatta nabi Muhammad sendiri, tetapi akan boleh sekadar memberi salam kepadanya dan mendoakan sejahtera untuknya seperti mana anda ucapkan dalam solat “assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibaadillahi solihin” yang bermaksud salam keatas diri kami dan keatas hamba-hambaMu yang soleh.

Wa Allah-A’lam..

No comments: